Skip to main content
Keperluan pemakanan kanak-kanak

Berapa banyak kalori yang diperlukan oleh kanak-kanak setiap hari?
Kanak-kanak memerlukan sekurang-kurangnya 1000 kalori sehari untuk tumbesaran dan sebagai tenaga mereka. Cara yang terbaik untuk memastikan anak anda mendapat keperluan kalori seharian mereka ialah dengan menghidangkan 3 sajian dan 2 snek sehari.

 

Makanan yang sesuai untuk kanak-kanak.

Kanak-kanak memerlukan makanan dari kumpulan makanan yang sama seperti orang dewasa. Bezanya ialah, saiz hidangan mereka lebih kecil, iaitu dalam 2/3 dari hidangan dewasa. Anak anda perlu mendapatkan khasiat daripada kumpulan makanan dalam saiz hidangan setiap hari seperti berikut:

  • Daging, ikan, ayam, telur  (2 ke 3 hidangan)
  • Produk tenusu (3 hidangan bersamaan dengan 2 gelas susu setiap hari)
  • Buah-buahan dan sayur-sayuran (3 hidangan setiap satu)
  • Bijirin, kentang, nasi, roti, pasta mee (6 hidangan)
Kawal pengambilan gula yang telah diproses. Ini kerana ia boleh menyumbang kepada risiko berat berlebihan atau obesiti, kerosakan gigi dan hiperaktif. Tetapi, jangan terlalu mengawal pengambilan kolesterol dan lemak di peringkat umur ini kerana kedua-dua nutrien ini diperlukan untuk perkembangan yang normal.
 

 

Masalah yang selalu dihadapi oleh kanak-kanak ketika waktu makan.

Kanak-kanak boleh sahaja menjadi seorang yang sangat memilih makanan dengan tiba-tiba walaupun ketika bayi dia tidak pernah cerewet tentang makanannya. Kanak-kanak mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat tinggi dan aktif dan sememangnya amat sukar untuk mereka duduk diam dalam tempoh yang lama. Apatah lagi ketika waktu makan. Ini ditambah dengan seleranya yang sentiasa berubah-ubah setiap hari. Sebagai contoh, sekiranya kelmarin dia amat berselera dan berjaya menghabiskan kesemua hidangan yang disajikan, tetapi hari ini dia langsung tidak mahu menjamah hidangannya. Kadang-kadang, dia hanya mahu makan sejenis makanan sahaja, dari pagi sampai ke malam, dan dia akan tiba-tiba sahaja tidak menyukainya lagi tanpa sebarang tanda-tanda!
 

 

Bagaimana saya boleh memupuk tabiat pemakanan sihat kepada anak saya?

Anda tidak perlu untuk menunggu sehigga usia tertentu untuk memupuk tabiat pemakanan yang sihat.

  • Galakkan anak anda untuk mencuba makanan yang baru.
  • Segalanya bermula dari diri anda sendiri. Amalkan tabiat pemakanan yang seimbang dengan mengambil makanan yang sihat dan kurangkan manisan, snek masin dan minuman ringan.
  • Tetapkan waktu makan yang rutin setiap hari supaya anak anda tidak bergantung kepada makanan snek untuk menghilangkan rasa laparnya.
  • Makan bersama-sama keluarga. Berikan perhatian kepada anak kecil anda, dan pastikan waktu makan anda bebas dari segala jenis gangguan, TV mahupun telefon pintar anda.
  • Jangan benarkan anak anda membawa alat permainannya ke meja makan.
  • Jangan sajikan makanan yang menggunakan rempah ratus atau pedas. Ini kerana, kebanyakan kanak-kanak tidak menyukai rasa ini. Bahkan, ini boleh menyebabkan dia menolak sesuatu makanan di masa hadapan sekiranya pengalaman pertamanya tidak menyeronokkan.
  • Elakkan makanan yang terlalu masin, terlalu banyak mentega ataupun terlalu manis untuk mengelakkan deria rasanya mula menggemari makanan yang kurang sihat.

 

Video berkaitan