Pemakanan anak adalah kebimbangan utama kepada semua ibubapa. Anda bimbang sama ada anak-anak mengambil makanan yang berkhasiat secukupnya. Atau, anda tidak pasti sama ada anak-anak makan terlalu banyak dan menyebabkan mereka menjadi kurang sihat. Ikuti langkah-langkah ini untuk meredakan kebimbangan anda.

 

Selera Makan

 
Kanak-kanak boleh menjadi lapar dengan tiba-tiba ataupun mereka hanya makan sedikit sahaja. Ini disebabkan, mereka masih dalam fasa pembesaran, dan acap kali mereka akan melakukan aktiviti fizikal yang memerlukan tenaga yang lebih. Selagi anda menyediakan makanan yang berkhasiat kepada anak anda, anda tidak perlu risau kerana selera makan mereka akan mendapat keseimbangan. Memaksa mereka untuk makan (galakan untuk makan dengan lebih banyak) akan mendatangkan kesan yang tidak diingini. Makanan manis seperti gula-gula, kerepek dan biskut boleh membantutkan selera makan mereka untuk makan makanan yang berkhasiat. Sentiasa perhatikan selera makan mereka dan jadikan ia sebagai salah satu panduan bagi menyediakan makanan berkhasiat untuk anak-anak anda.
 

5 Keperluan asas pemakanan berkhasiat

 
Jika anda mengikuti kelima-lima keperluan asas pemakanan berikut, anda sudah membuat keputusan yang tepat. Kunci untuk menentukan pengambilan pemakanan anak-anak ditentukan oleh anda dan anak-anak anda pula akan menentukan berapa banyak jumlah makanan yang mereka akan ambil. Teknik ini dikenali sebagai ‘pembahagian tanggungjawab’.
Protein adalah penting dalam tumbesaran tubuh bagi memastikannya sentiasa kuat dan sihat. Cuba berikan kekacang (apa jua jenis kekacang; ini juga termasuk kacang pea yang sejuk beku atau kacang panggang dalam tin); telur; ikan; ayam (atau daging yang lain); susu; yogurt dan keju.
Sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi nutrien-nutrien dan serat yang penting untuk tubuh badan yang sihat. Lebih banyak warna adalah lebih baik. Antara sayur-sayuran yang disarankan ialah brokoli, kacang hijau, lobak merah, kentang, tomato, bayam dan timun (beserta kulitnya). Manakala untuk buah-buahan pula seperti betik, pisang, belimbing, manggis, rambutan, ciku, tembikai, tembikai susu, epal dan oren.
Karbohidrat berkanji. Semakin banyak kandungan serat, semakin perlahan pembakaran berlaku. Cuba makanan seperti roti yang diperkaya dengan serat, beras gandum, pasta, mi, roti jagung, lempeng dan bijirin rendah gula.
Lemak yang baik. Makanan dengan lemak berantai panjang diperlukan untuk membina sel otak dan saraf. Lemak yang baik banyak didapati di dalam ikan (yang segar atau yang di dalam tin), buah avokado dan minyak sayur-sayuran seperti minyak zaitun atau minyak kanola.
Air adalah sumber cecair yang sangat bagus. Pastikan anak anda minum air dalam jumlah yang banyak sepanjang hari. Jika anda menyediakan jus buah-buahan kepada anak anda, campurkan dengan air dalam nisbah 50:50.
 

Makanan yang perlu dielakkan

 
Pencuci mulut selepas makan? Tiada salahnya dan hidangan buah potong adalah pilihan yang sihat. Jika anda ingin menghidangkan sesuatu yang istimewa, anda boleh hidangkan aiskrim vanila ataupun roti pisang sebagai pencuci mulut. Untuk pencuci mulut seperti coklat atau kek, anda bolehlah hidangkan pada majlis-majlis yang istimewa seperti majlis harijadi.
Sistem tubuh badan kanak-kanak tidak boleh menerima makanan yang mengandungi garam, gula atau kafein yang tinggi. Minuman ringan dan jus buah-buahan bukan sahaja mahal, malah mengandungi kandungan gula yang tinggi dan tidak bagus untuk gigi anak anda. Jika anda ingin menyediakan jus, campurkan dengar air dalam nisbah 50:50.
Campuran makanan segera. Makanan seperti kerepek kentang, donat, biskut, kek, gula-gula mempunyai kandungan serat dan nutrisi yang rendah, akan tetapi tinggi kandungan gula dan/atau lemaknya. Kandungan lemak di dalam makanan jenis ini selalunya terdiri daripada lemak tidak baik, ini termasuklah ‘trans lemak’. Jangan biasakan anak anda makan makanan jenis ini, dan biasakan mereka dengan snek yang sihat seperti lobak merah atau timun yang diparut atau dihiris nipis, ataupun jagung dalam cawan.
 

Bagaimana anda boleh menyemai rasa cinta terhadap pemakanan yang baik kepada anak anda.

 
Kanak-kanak akan memerhatikan apa yang anda makan. Anda boleh cuba memperkenalkan tabiat pemakanan yang sihat dengan mengamalkan sendiri tabiat pemakanan yang baik. Inilah masanya anda meninggalkan satu atau dua makanan ringan yang tidak elok untuk kesihatan anda. Apatah lagi jika anda boleh mengelakkan biskut dan kerepek kentang dari tabiat pemakanan anak anda. Ia pasti akan memberi impak yang positif kepada pengambilan pemakanan anak anda.
Kadang-kadang kanak-kanak perlu diperkenalkan dengan makanan baru sebanyak 6 ke 10 kali, barulah mereka ingin mencuba makanan tersebut. Akan tetapi, mungkin proses ini akan menjadi singkat jika mereka melihat anda pun makan juga. Seandainya masih tidak berjaya, anda tidak perlu risau, perkenalkan kembali makanan itu dalam selepas 3 ke 6 bulan.
 

Terlalu banyak atau kurang?

 
Mengetahui cara perut anda ‘berkomunikasi’ dengan otak boleh membantu anda menentukan sama ada anda kurang makan atau terlebih makan.
Tindakbalas yang lambat. Otak kita hanya menyedari yang kita telah pun kenyang hanya selepas 20 minit makan.
Isyarat Perut. Perasaan lapar banyak dipengaruhi oleh ‘isyarat perut’ si Manja – kuantiti yang dimakan pada waktu makan semalam akan mempengaruhi kuantiti makanan yang dimakan pada hari ini. Pengambilan makanan yang banyak pada waktu biasa akan menyebabkan selera makan malam anda bertambah. Anda boleh guna ini sebagai tanda aras untuk mengawal pemakanan si Manja anda. Anda boleh mengalakkan si Manja anda untuk makan lebih pada waktu makan dengan mengurangkan waktu snek mereka. Sebaliknya, anda juga boleh menghidangkan snek yang sihat bagi mengelakkan si manja terlebih makan pada waktu makan.
Makan Berlebihan?
Adakah anak anda mengalami masalah makan berlebihan? Anda boleh cuba menyelesaikan masalah ini dengan:
a) sediakan separuh makanan daripada yang selalu dia ambil. Kemudian, berikan separuh lagi10 minit selepas itu. Ini akan memberi masa kepada otak si Manja anda untuk memberi tindak balas yang sepatutnya;
atau
b) pastikan si Manja anda mengambil makanan yang lebih berkhasiat seperti protein tanpa lemak dan sayuran terlebih dahulu (penggiliran makanan). Si Manja anda tidak perlu menghabiskan makanannya, tetapi berikan karbohidrat berkanji (seperti pasta, roti atau kentang) hanya selepas si Manja anda telah menghabiskan makanan lain yang lebih berkhasiat terlebih dahulu. (Sekiranya anda hidangkan serentak kedua-dua jenis makanan ini, si Manja anda akan memilih untuk memakan roti atau pasta terlebih dahulu yang mana akan mengenyangkan mereka terlebih dahulu sebelum mereka sempat makan makanan yang lebih berkhasiat.)
Si Manja Kurang makan?Anda merasakan si Manja anda selalu sahaja makan dengan sedikit ketika waktu makan. Tambahan pula, dia hanya bertahan selama 5 minit sahaja, dan dia akan mula hilang minat untuk makan dan lebih suka bermain? Jika begitu anda boleh mencuba untuk:
a) penggiliran makanan (lihat seperti di atas) untuk memastikan dia mengambil semua makanan yang berkhasiat ketika peluang masih ada
dan
b) biarkan si Manja anda makan dengan laju dan banyak (agar dia boleh makan dengan lebih banyak sebelum otaknya sempat memberi isyarat kenyang). Isyarat perutnya juga boleh membantu.
Jika anda membuat jadual pemakanan yang tetap setiap hari, kemungkinan besar dia akan merasa lapar pada waktu-waktu tersebut.
 

Senaman untuk Si Manja

 
Berjalan, berlari, melompat, membaling, memanjat dan bermain dapat menjadikan tulang, otot, jantung, paru-paru dan salur darah anak anda menjadi kuat selain melatih koordinasi, keseimbangan, postur dan fleksibiliti anak anda. Ia juga meningkatkan kadar metabolisma untuk sepanjang hari. Ini dapat mengurangkan risiko untuk mereka terlebih berat badan ataupun obes. Ia juga dapat mengurangkan risiko sakit jantung, kanser dan diabetes di kemudian hari. Taman permainan adalah tempat yang terbaik untuk menjadikan mereka aktif.
 

Pengaruh Televisyen

 
Mempunyai berat badan berlebihan sememangnya tidak sihat dan tidak menyelesakan – bahkan sangat tidak menyenangkan bagi kanak-kanak. Elakkan dari memberi anak anda makan snek seperti kerepek kentang ketika menonton televisyen, kerana ini adalah antara punca kegemukan. Anda boleh menghadkan waktu menonton televisyen kepada 30 minit sahaja, dan banyakkan aktiviti yang melibatkan fizikal, seperti pergi ke taman permainan. Berikan snek yang sihat kepada anak anda seperti pisang, biskut kering, lobak atau batang saderi.